Cristiano Ronaldo. Foto Sky Sports.

LONDON – Khidmat bintang dunia, Cristiano Ronaldo masih diperlukan oleh skuad Portugal walaupun dia kini sudah berusia 39 tahun dan bakal tampil aksi keenamnya pada saingan Euro 2024 bulan depan.

Ronaldo yang kini beraksi dengan kelab Arab Saudi, Al Nassr memiliki rekod jaringan dalam setiap edisi Euro sejak penampilan pertamanya pada 2004.

Dia juga mempunyai koleksi 14 gol di kejohanan berkenaan selain memiliki rekod sebanyak 10 gol pada kempen perlawanan kelayakan yang berlangsung pada tahun lalu.

Pengendali Portugal, Roberto Martinez  menjelaskan Ronaldo layak dipanggil berdasarkan prestasinya bersama Al Nassr.

“Cristiano? Lebih baik bercakap dengan data. Dia seorang pemain yang meledak 42 gol dalam 41 perlawanan bersama kelabnya.

“Itu menunjukkan kemampuan fizikal dan keupayaannya untuk sentiasa kekal cergas termasuk kualiti dipamerkan ketika di depan gawang… sesuatu yang kami sangat suka dan perlukan,”  kata Martinez.

Dalam senarai diumumkan itu, Ronaldo bukan hanya pemain veteran yang disenaraikan memandangkan pertahanan Porto, Pepe yang berusia 41 tahun turut bakal menggalas tugas pasukan.

Sembilan pemain dari Liga Perdana Inggeris turut disenaraikan termasuk Ruben Dias, Diogo Dalot, Bruno Fernandes, Bernardo Silva dan Diogo Jota. – Agensi

Pepe. Foto Sky Sports.