Seramai 15 wanita warga asing yang dipercayai menjadi peneman kepada lelaki hidung belang di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar di sini, diberkas Jabatan Imigresen Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Berbekalkan muka jelita, tubuh seksi menjadi modal untuk wanita warga asing dipilih sebagai peneman lelaki hidung belang di pusat hiburan.

Bagaimanapun, taktik 15 wanita yang terdiri daripada tukang cuci pejabat, pembantu restoran serta pekerja spa itu terbongkar selepas mereka ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar di sini awal pagi tadi.

Operasi bermula 11.15 malam yang diketuai Ketua Operasi JIM Pulau Pinang, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan (TPPK) Izham Idris turut mendapati rata-rata mereka yang ditahan itu memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial serta pas lawatan kerja sementara.

Tukang cuci, pembantu restoran dan pekerja spa antara disyaki menyalahgunakan pas lawatan serta pas kerja sementara dalam operasi tersebut.

Selain itu, ada warga asing cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan memberi alasan datang ke pusat hiburan tersebut atas jemputan rakan memandangkan esok cuti umum selain mahu meraikan hari lahir kenalan kepada rakan.

Menurut Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim, 15 wanita warga asing yang ditahan itu terdiri daripada warga Thailand, Indonesia dan Vietnam.

“Kesemua mereka yang berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1963.

Kesemua ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1963.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk menetap lebih masa, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan menyalahgunakan pas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Nur Zulfa, kesemua wanita warga asing itu dibawa ke Depot Imigresen di Juru bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette