GOMBAK – Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah lori dalam nahas jalan raya yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Greenwood menghala ke Sri Gombak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima makluman tentang insiden itu pukul 4.15 petang.
“Hasil siasatan di lokasi nahas mendapati kemalangan berlaku kira-kira 3.45 petang dan semasa kejadian seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun memandu sebuah lori dari Sungai Pusu menuju ke Kepong Baru.
“Selepas sampai di tempat kejadian, pemandu lori itu terdengar bunyi dentuman yang kuat di hadapan kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Noor Ariffin lagi, pemandu lori itu memberhentikan segera kenderaannya dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati sebuah motosikal jenis Yamaha Ego LC yang ditunggang oleh seorang wanita warga tempatan berusia 23 tahun berada di bawah tayar depan sebelah kiri lori.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke forensik hospital sama untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian manakala, polis sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kemalangan itu diharap tampil segera memberi kerjasama atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan lanjut. -MalaysiaGazette