Tertuduh, Syed Amir Muzzakkir Al Syed Mohamad, 42 yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang didakwa atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM350,000 bagi tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan polis di Mahkamah Sesyen, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2024.

SHAH ALAM – Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini didakwa lagi di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah berkaitan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Dia didakwa meminta suapan wang tunai RM350,000 daripada Wan Azhar Mohamed Yusof selaku Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada 4 petang, awal Disember 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farhana Ismail memohon mahkamah mengguna pakai jaminan dan syarat seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam dan turut memohon supaya kes di mahkamah ini dipindahkan ke mahkamah Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 12 Julai untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diiikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan sehingga kes selesai.

Semalam Sayed Amir Muzzakkir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai upah membantu Syarikat Nexuscorp mendapatkan tender bagi kerja penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti untuk PDRM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, di Solaris Dutamas di sini, pada 4 petang, 4 Dis 2020 dan 3.30 petang, 16 Dis 2020. – Bernama