Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang mekanik tergamak mengugurkan bayi dalam kandungan kekasihnya dengan membenarkan teman wanita memakan pil penguguran bayi.

Bagaimanapun tindakan suspek menyembunyikan kelahiran bayi itu dengan menanam janin itu di kawasan tasik di Puchong berjaya dikesan dan diberkas polis Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G.Shan Gopal berkata, sekitar jam 2.30 petang 22 Mei lalu polis menerima panggilan dari pihak hospital dan memakluman  menerima seorang pesakit perempuan remaja tempatan berusia 19 tahun mengalami keguguran pada 15 Mei lalu.

“Siasatan telah dijalankan oleh polis mendapati pesakit mengalami keguguran kerana memakan pil yang diberikan oleh teman lelakinya.

“Janin yang dilahirkan wanita itu kemudian telah ditanam di kawasan Taman Tasik Puchong, Selangor, pada 7.30 malam.” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, lebih kurang lima jam selepas menerima laporan pegawai perubatan itu, sepasukan polis dari IPD Sepang telah menjejaki dan membuat tangkapan ke atas suspek berusia 21 tahun.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut membawa kepada rampasan sebatang cangkul yang dipercayai digunakan oleh ia untuk menanam janin bayi tersebut.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 26 Mei ini untuk membantu siasatan polis.

Manakala, gadis remaja yang mengalami keguguran itu masih dalam rawatan di hospital dan pihak polis akan ambil tindakan lanjut setelah wanita tersebut pulih nanti.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana telah menyembunyikan kelahiran dan jika disabitkan kesalahannya boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.-MalaysiaGazette