Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin (kiri) dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan di Jepun pada Khamis, bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pelbagai bidang - (Kredit: X - Srettha Thavisin)

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan di Jepun pada Khamis, bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

Pada Jumaat, Srettha mengumumkan di akaun rasmi X bahawa beliau dan Anwar telah mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil, berdasarkan pertemuan mereka sebelum ini di Melbourne, Australia awal tahun ini.

Srettha mendedahkan antara perkembangan yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk pembangunan infrastruktur kastam dan jambatan untuk menggalakkan kesalinghubungan antara Thailand dan Malaysia, membangunkan zon ekonomi khas bersama terutama mengenai industri halal, mempromosikan pelancongan bersama melalui inisiatif “Enam Negara, Satu Destinasi” dan memperluas peluang bagi industri teras kedua-dua negara.

“Momentum ini ada di sini dan kami sedang mengembangkan peluang untuk industri utama kami bersama-sama,” katanya.

Kedua-dua Perdana Menteri berada di Tokyo, Jepun untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-29 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei).

— BERNAMA