Foto: AFP

WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Ahad melancarkan serangan terhadap dua pelancar Iran di Pulau Larak, menurut jurucakap Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) Tim Hawkins, sekali gus menandakan serangan pertama AS yang diketahui terhadap Iran sejak akhir Julai, lapor Xinhua.

“Pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dikesan sedang bersiap sedia untuk melancarkan roket bersama periuk api laut ke Selat Hormuz,” kata Hawkins dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tentera AS “memantau kawasan itu dengan rapi dan kekal bersedia melindungi kelancaran perdagangan” melalui laluan perairan strategik berkenaan.

Pulau Larak ialah sebuah pulau kecil milik Iran yang terletak di luar pesisir Bandar Abbas, di timur Pulau Qeshm dan selatan Pulau Hormuz.

IRGC berkata beberapa anggota tentera dan orang awam terbunuh atau cedera pada malam Ahad dalam serangan di Pulau Larak.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi saluran berita rasminya, Sepah News, IRGC berikrar bahawa serangan itu akan dibalas dengan “hukuman terhadap pihak penceroboh.”

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada awal Isnin berkata pihaknya menyerang dua pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) di Jordan menggunakan peluru berpandu balistik sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas Pulau Larak, Iran, lapor Anadolu Ajansi.

IRGC berkata Pasukan Aeroangkasanya menyasarkan pangkalan udara Raja Hussein dan Azraq dalam operasi gabungan peluru berpandu dan dron.

Menurut IRGC, serangan itu mengenai infrastruktur teknikal dan penyelenggaraan serta kawasan pesawat pejuang, dengan mendakwa ia menyebabkan “kerosakan besar”.

IRGC memberi amaran bahawa sebarang serangan lanjut akan dibalas dengan tindak balas yang lebih kuat.

Terdahulu pada Ahad, tentera AS menyerang dua pelancar Iran di Pulau Larak, sekali gus menandakan serangan pertama ke atas wilayah Iran sejak akhir Julai, menurut seorang pegawai AS kepada Axios.

Operasi itu menyasarkan sistem yang didakwa sedang dipersiapkan untuk melancarkan roket membawa periuk api laut ke Selat Hormuz.

IRGC berkata beberapa anggotanya dan orang awam terbunuh serta cedera dalam serangan itu justeru berikrar untuk bertindak balas.

Agensi berita Tasnim Iran berkata maklumat awal menunjukkan serangan itu dilakukan menggunakan dron. – BERNAMA-ANADOLU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here