KUALA LUMPUR – Selepas 20 hari menerima rawatan, bintang Selangor FC, Faisal Halim dibenarkan keluar dari hospital hari ini.

Menurut kenyataan Selangor FC, Faisal dibenarkan keluar selepas pemerhatian daripada doktor pakar bertugas mengenai rawatan dan pemulihan pemain yang sangat positif selepas melalui empat pembedahan.

“Pihak kelab dengan penuh kesyukuran ingin memaklumkan bahawa Faisal Halim telah didiscajkan dari hospital setelah menjalani empat pembedahan untuk merawat kecederaan luka lecuran tahap empat, kesan daripada simbahan asid tempoh hari.

“Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan Faisal Halim daripada kecederaan serius ini amat luar biasa dan menjangkaui jangkaan semua pihak,” katanya.

Tambahnya, Faisal kini memasuki fasa rawatan seterusnya bagi proses pemulihan.

“Pihak kelab dan keluarga Faisal Halim memohon agar semua pihak dapat memberi ruang dan privasi untuk beliau melalui proses pemulihan ini dengan sebaiknya. Mari kita bersama-sama terus mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan yang sepenuhnya buat Faisal Halim dan semoga belia dan keluarga terus diberikan kekuatan mengharungi waktu yang sukar ini,” ujarnya.

Faisal yang juga pemain sayap Harimau Malaya mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu. – MalaysiaGazette