Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan terhadap seorang guru yang didakwa mendenda beberapa pelajar berdiri di kawasan padang sekolah di Ampang, di sini, pada 30 April lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu kepada salah seorang pelajar yang didenda itu.

Katanya, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu mengadu kepada ibunya semasa dijemput pulang dari sekolah bahawa dia telah didenda oleh guru sekolah dengan berdiri di kawasan padang dalam keadaan panas selama lebih dua jam.

“Hasil siasatan polis mendapati guru lelaki berusia 37 tahun itu memberi hukuman berdiri di padang dalam panas kepada mangsa dan juga tiga lagi rakannya di sekolah tersebut.

“Pemeriksaan pegawai perubatan juga mendapati mangsa telah mengalami kelesuan haba akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati mangsa bersama tiga lagi pelajar didenda berdiri di padang sekolah di bawah cuaca panas selama 10 minit.

Menurut Mohd Azam, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Polis telah selesai menjalankan siasatan dalam kes ini dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya Selangor untuk penelitian selanjutnya,” ujarnya.

Pada 24 Mei lalu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang ibu kepada salah seorang pelajar terlibat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan tidak berpuas hati berkenaan siasatan dan cara pengendalian kes tersebut. -MalaysiaGazette