Tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 262.5 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Sabak Bernam menghala ke Changkat Jering arah utara dekat sini malam tadi. Foto ihsan JBPM Perak

TAIPING – Tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 262.5 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Sabak Bernam menghala ke Changkat Jering arah utara dekat sini malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.11 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi pihaknya mendapati kemalangan tersebut membabitkan dua buah kenderaan jenis Perodua Bezza dan Honda Civic.

“Terdapat sembilan orang mangsa terlibat dalam kemalangan itu. Seorang mangsa tersepit di dalam kereta Perodua Bezza manakala seorang lagi tersepit di dalam kenderaan Honda Civic.

“Komander Operasi kemudiannya membuat size up dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, seramai lima individu menaiki Perodua Bezza terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita serta tiga kanak-kanak. Lelaki dan wanita terbabit meninggal dunia manakala yang lain cedera.

“Terdapat empat orang menaiki kereta Honda Civic iaitu dua wanita dan dua kanak-kanak. Salah seorang wanita terbabit meninggal dunia manakala tiga lagi hanya mengalami kecederaan.

“Mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan kenderaan dari Kementerian Kesihatan dan jentera Pasukan Khas jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Taiping manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Katanya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nizam Abdul Manaf itu tamat pada jam 1.10 pagi. – MalaysiaGazette