YDPA, Sultan Ibrahim Sultan Ibrahim berkenan mengucapkan selamat jalan perlepasan kepada jemaah haji di Dewan Mentari, Movenpick Hotel, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL,26 MEI 2024

SEPANG – Sultan Ibrahim berkenan berangkat untuk mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji negara buat pertama kalinya selepas dilantik menjadi Yang Pertuan Agong Malaysia Ke-17 pada 31 Januari yang lalu.

Seri Paduka tiba di Stesen Berlepas Movenpick Hotel & Convention Centre bersama anakanda baginda, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Baginda turut berkenan beramah mesa bersama 282 orang bakal haji daripada kumpulan penerbangan ke-55 (KT055) yang dijadualkan berlepas pukul 1.30 tengahari ke Jeddah menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8122) dan dijangka tiba pukul 5.25 petang (waktu Arab Saudi).

Bagi memberkati perjalanan para jemaah haji, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan membacakan doa memohon keselamatan dan dipermudahkan segala urusan ibadah mereka.

Turut hadir, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Tuan Mesaad Ibrahim Al-Sulaim; Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamada Syed Othman.

Ketika menyampaikan sembah ucapan, Mohd. Naim mengingatkan para jemaah supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci dan merujuk kepada para petugas TH yang sentiasa siap siaga sekiranya berdepan sebarang masalah mahu pun memerlukan sebarang bimbingan dan bantuan.

“Para jemaah juga dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan diri serta sentiasa memakai gelang dan kad pengenalan diri yang dibekalkan oleh TH supaya mudah dikenal pasti sekiranya berlaku sebarang kecemasan”, katanya.

YDPA, Sultan Ibrahim Sultan Ibrahim berkenan mengucapkan selamat jalan pelepasan kepada jemaah haji di Dewan Mentari, Movenpick Hotel, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL,26 MEI 2024

Mohd. Naim menambah, lebih 16,000 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci Mekah dan Madinah.

Terdapat 100 penerbangan sewa khas bagi musim haji 1445H/2024M yang telah bermula pada 9 Mei lalu dan penerbangan akhir dijadualkan 9 Jun depan.

Pada majlis sama, Mohd Na’im menyerahkan insentif kepada bakal haji dari keluarga B40 di Wilayah Persekutuan bagi musim haji 2024/1445H.

Insentif berjumlah RM144,500 itu hasil sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk diagihkan kepada 289 bakal haji.

Pemberian insentif berjumlah RM500 kepada setiap jemaah itu diberikan melalui wang sumber am berjumlah RM144,500 sebagai tanda keprihatinan MAIWP kepada kebajikan golongan B40. – MalaysiaGazette

YDPA, Sultan Ibrahim Sultan Ibrahim berkenan mengucapkan selamat jalan pelepasan kepada jemaah haji di Dewan Mentari, Movenpick Hotel, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL,26 MEI 2024