Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI – Seorang jurutera rugi RM153,0065 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan berasaskan kripto melalui di aplikasi Instagram.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner  Kumarasan Muniandy berkata, pihaknya telah menerima laporan itu daripada mangsa, seorang lelaki tempatan yang berumur 25 tahun.

Menurutnya, mangsa telah menunjukkan minat apabila menerima satu pautan di aplikasi Instagram sebelum disambungkan ke aplikasi Line untuk berurusan dengan pentadbir.

“Seterusnya, beliau telah ditawarkan tentang pelaburan jual dan beli mata wang kripto serta dijanjikan keuntungan sebanyak 40 peratus daripada jumlah wang yang dilaburkan.

“Mangsa telah melakukan lima kali transaksi bermula 9  hingga 18 Mei yang lepas dan pentadbir sindiket itu memaklumkan beliau kononnya akan menerima keuntungan sebanyak RM100, 000.

“Bagaimanapun, beliau menyedari dirinya terpedaya dengan sindiket ini pada 21 Mei lalu apabila dirinya tidak menerima sebarang keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan wang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang menyebabkan seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun serta sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Polis meminta orang ramai untuk sentiasa berhati-hati apabila berurusan atas talian supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran menjanjikan keuntungan lumayan. – MalaysiaGazette