Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang warga negara asing ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Pandan Indah baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki warga India yang bekerja sebagai pelayan kedai makan itu berusia 34 tahun itu kini direman lima hari sehingga 28 Mei ini.

Menurutnya, ibu mangsa telah membuat laporan polis selepas anaknya mengadu seorang lelaki telah membuat sesuatu kepadanya sehingga mangsa berasa sakit pada bahagian luar kemaluan.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kemerahan pada bahagian luar kemaluan mangsa,” kata Mohd Azam dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 merujuk kepada amang seksual terhadap kanak-kanak

Hukuman Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 hendaklah dihukum dengan pemenjaraaan maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.- MalaysiaGazette