Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim diiringi Pengarah Pusat Pengajian Postnormal, Ziauddin Saddar (tengah) dan Pengasas Berjaya Corporation, Tan Seri Datuk Seri Vincent Tan Chee Yioun bergambar bersama yang lain ketika Pameran Era Pascanormal Madani di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Mekanisme dan tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel akan dimaklumkan pada masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kerana beliau sudah pun memberikan gambaran mengenainya dan kini hanya perlu tindakan susulan.

“Ada orang tanya mengapa? Bukan semua Perdana Menteri yang lakukan. Saya beri gambaran dan kerangka besar, kemudian akan ada tindakan susulan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Pameran Era Pasca Normal MADANI di sini, hari ini.

Dalam Perutusan Negara yang disampaikan Selasa lepas, Anwar berkata Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.- BERNAMA