Foto The Canberra Times.

Lille (Perancis)  – Paris Saint-Germain (PSG) menjulang Piala Perancis awal pagi tadi  selepas mengatasi Lyon 2-1 pada perlawanan akhir di Stade Pierre-Mauroy, Villeneuve-d’Ascq, Perancis awal pagi tadi.

Namun kejayaan itu diselubungi tanda-tanya selepas penyerang sensasinya Kylian Mbappe belum mengesahkan hala tujunya untuk beraksi musim depan.

Kontrak Mbappe kini sudah berakhir dan dia baru-baru ini mengesahkan akan meninggalkan kelab itu pada hujung musim.

Real Madrid dijangka menjadi destinasi berikut sekalipun dia atau kelab gergasi Sepanyol itu belum membuat sebarang pengumuman.

Mbappe, yang akan menyertai skuad Perancis untuk menghadapi Euro 2024 tidak menjaringkan gol pada perlawanan awal pagi tadi jadi dia meninggalkan kelab kampung halamannya dengan rekod kelab 256 gol dalam 308 penampilan.

Ousmane Dembele dan Fabian Ruiz meledak gol buat PSG namun pemain Ireland, Jake O’Brien membalas satu gol buat Lyon pada babak kedua.

Pasukan kendalian Luis Enrique yang tumpas kepada Borussia Dortmund pada separuh akhir Liga Juara-Juara menamatkan kempen dengan kejuaraan berganda liga dan piala.

Mbappe menyertai PSG dari Monaco pada Ogos 2017 dengan perjanjian bernilai 180 juta euro (RM920 juta) dan meninggalkan kelab itu selepas menang enam kejuaraan Ligue 1, empat Piala Perancis dan dua Piala Liga, selain membantu pasukannya layak ke final Liga Juara-Juara pada 2020. – Agensi