Menteri Agama, Datuk Dr. Na'im Mokhtar Mohd bercakap pada Sidang Media berkenaan Majlis Perlepasan kepada jemaah haji di Dewan Mentari, Movenpick Hotel, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL,26 MEI 2024

SEPANG – Malaysia merekodkan kematian jemaah haji pertama musim ini membabitkan seorang lelaki berusia 72 tahun yang mengalami pembuluh darah pecah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, Allahyarham Abdul Hajar Ismail yang berasal dari Jitra, Kedah itu meninggal dunia di Hospital King Abdullah, Mekah.

“Saya dimaklumkan dua hari lepas, kita telah menerima berita dukacita kematian yang pertama bakal jemaah yang berusia 72 tahun disebabkan pembuluh darahnya pecah.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kembali bakal jemaah kita di sana agar menjaga kesihatan kerana cuaca agak panas di sana. Jadi kebanyakan masa biarlah duduk di masjid atau di hotel.

YDPA, Sultan Ibrahim Sultan Ibrahim bersama Menteri Agama, Datuk Dr. Na’im Haji Mokhtar Mohd menghadiri Majlis Perlepasan Kepada Jemaah Haji di Dewan Mentari, Movenpick Hotel, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL,26 MEI 2024

“Segala urusan badal haji akan disediakan oleh Tabung Haji  secara percuma dan saya telah saya sendiri telah menghubungi waris iaitu anak dan telah bercakap dengannya sendiri,” katanya.

Mohd Nai’m sebelum itu mengiringi Yang diPertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Majlis Perlepasan Kepada Jemaah Haji di sini hari ini.

Sejumlah 31,600 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini dan 16,000 jemaah sudah tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat sejak 9 Mei lalu dan akan berakhir pada 9 Jun ini. – MalaysiaGazette