Jenazah ketiga-tiga mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid At-Taqwa Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Punca kematian seorang ibu dan dua anaknya dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Besar di sini semalam adalah disebabkan tersedut asap.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, punca kematian tiag beranak itu diperoleh daripada hasil bedah siasat doktor pakar di Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau (HBP).

“Bedah siasat pertama dilakukan semalam pukul 4.03 petang membabitkan Noorul Bowjiya berusia 58 tahun iaitu ibu kepada dua lagi mangsa.

“Bedah siasat kedua dijalankan pukul 8.40 malam membabitkan mangsa, Rahbiah Jasmin Saida Mohamed berusia 20 tahun manakala bedah siasat mangsa terakhir, Mohammad Ibrahim berusia 33 tahun dilakukan hari ini pukul 9 pagi.

Mayat mangsa ditemui bertindih antara satu sama lain.

“Pihak hospital mengesahkan kematian tiga beranak itu disebabkan smoke inhalation (tersedut asap),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Rizal berkata, hasil siasatan polis serta forensik juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, jenazah ketiga-tiga mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid At-Taqwa di sini hari ini.

Media semalam melaporkan ibu dan dua anaknya maut dalam kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat ditemui dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.

Komander Operasi dari Balai Bomda dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd Faris Mansor berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga mangsa cuba menyelamatkan diri tidak menemui jalan keluar. – MalaysiaGazette