Foto IG Zarina Zainuddin.

KUALA LUMPUR – Anak kepada pelakon Zarina Zainuddin iaitu Muhammad Adam Azrai berjaya memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Zarina atau Nur Zarina Mohd Zainuddin meluahkan rasa syukur apabila anak lelakinya itu berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

“Alhamdulillah Adam dah dapat keputusan SPM dapat 6A 2B+,” kongsi di media sosial miliknya.

Zarina, 54, berkata sebagai ibu dia akan memastikan agar anak-anaknya berjaya dalam pendidikan sambil mengakui dirinya mungkin tidak begitu bijak dalam pelajaran.

“Syukur sebagai seorang ibu itu pun saya sudah bersyukur. Ibu tak pandai biarlah anak pandai.

“Semua ibu bapa pun mengharapkan anak berjaya. Saya doakan anak-anak kita semua berjaya,” ujarnya.

Hari ini, seramai 395,870 calon SPM 2023 menerima keputusan masing-masing yang melibatkan kesemua calon yang telah menduduki peperiksaan di 3,340 pusat peperiksaan di seluruh negara sebelum ini. – MalaysiaGazette