Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim melihat komponen pada Pam Air Terawat Matang Pagar yang perlu diganti ketika melawat tapak sistem air bersin di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2024.

KUALA SELANGOR – Sebanyak tiga peralatan injap di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) terlibat dalam pelaksaanan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset pada 5 hingga 7 Jun ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, penggantian itu terpaksa dilakukan berikutan peralatan tersebut sudah mencapai usia lebih 30 tahun.

Antara injap yang terlibat adalah Injap Sluice bersaiz bersaiz 1,350 milimeter (mm) dan Injap Butterfly (1,450 mm) yang rosak di pam air terawat Matang Pagar serta penyelenggaran Switchgear 6.6 dan 33 kilovot di rumah pam air terawat di LRA SSP1.

“Kerja-kerja ini telah tertangguh sebanyak dua kali sebelum ini kerana terdapat pelbagai perayaan termasuklah Hari Raya Aidilfitri.

“Ini adalah penggantian pertama melibatkan dua injap tersebut yang digunakan selama 24 jam sehari sejak tahun 90-an dan ia adalah kerosakan utama.

“Penggantian injap baharu ini perlu dilakukan yang menyebabkan penutupan atau henti tugas LRA SSP1. Jadi, tiada cara lain untuk kita elak atau menangguhkannya lagi.

“Usianya ikutkan sudah lebih 30 tahun. Agak lama peralatan ini beroperasi tanpa henti dan kita sentiasa melakukan teknikal audit dalam memastikan keperluan yang rosak akan diganti bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Tenaga (ST),” katanya.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim bercakap kepada media sebelum melihat komponen pada Pam Air Terawat Matang Pagar yang perlu diganti di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2024.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di lobi LRA SSP1 sebelum membuat lawatan ke rumah pam sistem air bersih di sini hari ini.

Jelas Izham lagi, kos penggantian dan penyelenggaran komponen tersebut akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM500,000.

“Kita sudah buat jangkaan masa agar penangguhan itu tidak menyebabkan kesan yang lebih besar. Saya kira ini waktu yang sesuai (penggantian) melibatkan penutupan loji. Namun kita cari keadaan yang sangat minima mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat dua buah LRA iaitu Rantau Panjang dan Semenyih juga akan ditutup pada hujung tahun ini bagi kerja-kerja yang sama.

Bagaimanapun, pihaknya akan memastikan keadaan itu diminimumkan dengan pantuan penyaluran air dari LRA Langat 2.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim melihat komponen pada Pam Air Terawat Matang Pagar yang perlu diganti ketika melawat tapak sistem air bersin di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2024.

Sementara itu, Ketua Operasi dan Pengagihan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor), Kelvin Siew Weng Hoe berkata, sebanyak 664 kawasan melibatkan tujuh buah wilayah di Lembah Klang terkesan dengan gangguan air berjadual pada minggu depan.

Wilayah paling tinggi terkesan adalah di Kuala Selangor dengan 175 kawasan diikuti Gombak (150 kawasan), Petaling (149 kawasan, Kuala Lumpur (118 kawasan), Hulu Selangor (31 kawasan), Klang (29 kawasan), dan Shah Alam (12 kawasan).

“Anggaran pengurana pengeluaran susulan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset ini adalah sebanyak 404 juta liter.

“Selain itu, tempoh masa keseluruhan gangguan air pula berlaku selama 51 jam yang bermula 9 pagi pada 5 Jun hingga 12 tengah hari pada 7 Jun depan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast