Koperal Mohd Hasif Roslan.

JOHOR BAHRU – Anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, dekat sini, dibenarkan keluar hospital, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, Mohd Hasif yang menerima rawatan selama sembilan hari Hospital Sultan Ismail (HSI) kini berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, katanya, anggota polis itu masih memerlukan rawatan susulan.

“Alhamduliallah beliau semakin sihat dan dia diberikan cuti dua bulan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan kesihatannya.

“Beliau ditembak dengan peluru menembusi bahagian bahu dan pinggul. Luka rawatan pastinya ada susulan dari pihak hospital,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan negeri Johor kepada Anggota PDRM Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Pada 17 Mei lalu, dalam serangan di balai polis yang yang dilakukan seorang individu bertopeng, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban akibat ditembak dan ditetak.

Dalam serangan yang dilakukan seorang individu bertopeng turut maut dalam kejadian jam 2.45 pagi.

Menurut Sohaimi, Mohd Hasif akan diberikan sesi kaunseling sekiranya perlu. – MalaysiaGazette