JAS terus melakukan pemantauan kualiti udara yang terletak 500 meter dari kawasan kebakaran.

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor terus menjalankan pemantauan  kualiti udara selepas kejadian kebakaran tujuh unit bangunan di sebuah kilang cat di Taman Perindustrian Dato Yunus Sulaiman, di sini, semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Ling Tian Soon berkata, kerja-kerja pemantauan berkenaan dilakukan bermula jam 12.30 tengah malam Isnin sehingga 8 pagi tadi di kawasan sekitar kilang tersebut.

“Pengawasan kualiti udara telah dilakukan di kawasan perumahan Jalan Bahagia 1 sekitar 300 meter jarak dari lokasi kejadian dan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Ming yang terletak 500 meter dari lokasi kejadian.

“Pengawasan di kawasan perumahan Jalan Bahagia 1 mendapati ada mempunyai bau seperti cat dan solvent, bacaan pengawasan udara adalah memuaskan dengan tiada baaan melebihi AEGL 1.

“Pengawasan di hadapan SJKC Ping Ming tiada apa-apa bau dikesan dan bacaan kualiti udara juga menunjukkan tiada pencemaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Mohd Kamal Shaari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 6.37 petang semalam.

Katanya, seramai 50 anggota dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke tempat kejadian. -MalaysiaGazette