KUALA LUMPUR – Malaysia boleh menjadi hab utama membekalkan cip kuasa kepada kereta elektrik (EV), kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan melepaskan peluang itu selaras dengan pertumbuhan pasaran EV di seluruh dunia.
“Walaupun kami akan mengambil masa untuk sampai ke sana, kami sedang menumpukan pada bahagian lain rantaian nilai.
“Teknologi berkembang dengan pesat dengan kadar penggunaan semakin pantas. Sebagai contoh, Netflix mengambil masa 3.5 tahun untuk mencapai sejuta pengguna, Facebook (10 bulan), Instagram (2.5 bulan) dan ChatGPT (5 hari).
“Oleh itu, kita perlu tangkas dan boleh menyesuaikan diri dengan mengukuhkan asas kita kepada konteks dan keadaan yang berbeza,” katanya berucap merasmikan Persidangan SEMICON Southeast Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Perdana Menteri juga berkata, Malaysia menyedari untuk mencapai sempadan teknologi cip bukanlah mudah dan tidak juga murah.
“Pengeluar cip terkemuka dunia, TSMC di Taiwan mempunyai bajet perbelanjaan modal sebanyak AS$28 hingga AS$32 bilion untuk 2024,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, cip kuasa adalah kunci dalam teknologi peralihan tenaga dan penyahkarbonan.
“Melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), kami sudah mempunyai pemboleh dasar dan insentif yang betul untuk syarikat yang ingin mengeluarkannya di sini,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan menyasarkan untuk mempunyai 40 peratus campuran tenaga utama Malaysia daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2035.
“Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 10 juta tan setiap tahun dan mencapai 100 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.
“Kerajaan menyokong penerokaan teknologi baharu seperti hidrogen hijau, teknologi nuklear dan storan tenaga berskala besar untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan memenuhi sasaran Paris Accords 2016,” katanya lagi. – MalaysiaGazette