Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengulangkaji pelajaran sebelum masuk ke dewan peperiksaan untuk menjawab kertas soalan Bahasa Melayu pada hari pertama SPM 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1). Foto SYADILA AMARI, 30 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti dan mengambil tindakan segera bagi menangani isu ketidakhadiran lebih 10,000 pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Parti itu berkata, perkara tersebut merupakan krisis pendidikan yang perlu ditangani segera.

“Masa depan generasi pelajar akan lebih terancam jika pendidikan dan aliran-aliran sedia ada tidak diambil serius. Kita tidak boleh membiarkan semakin ramai pelajar terus tercicir, terpinggir dan hilang harapan dan kepercayaan kepada sistem pendidikan negara” kata MUDA menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, MUDA menuntut penjelasan daripada KPM mengenai langkah mengenal pasti bilangan ketidakhadiran masih mencecah puluhan ribu.

“Dalam era digital sekarang, sekolah-sekolah kita seharusnya dapat melihat peningkatan dalam pencapaian pelajar. Namun, apa yang kita lihat sekarang adalah kegagalan sistemik yang memerlukan tindakan segera,” katanya lagi.

Parti tersebut juga mahu KPM menjelaskan rancangan memperbanyakkan cabang pendidikan dengan menumpukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Apakah langkah untuk mengenal pasti kecendurangan pelajar bukan sekadar akademik sahaja dan memberi penekanan kepada program vokasional, teknikal and TVET di dalam dan luar bandar?

“Apa bentuk sokongan yang disediakan oleh KPM untuk menghadapi masalah sosioekonomi terutama pelajar-pelajar dari kalangan B40?,” soalnya.

Tambahnya, MUDA sedia berkerjasama dan menyokong sebarang inisiatif dan kempen demi menjamin masa depan pendidikan yang kualiti untuk belia kita.

Baru-baru ini dilaporkan, seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan menyifatkan jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast