Mohamad Ali Iqbal Abdul Khalid

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pelantikan Mohamad Ali Iqbal Abdul Khalid sebagai penolong gabenor yang baharu, berkuat kuasa 1 Jun 2024.

Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata Mohamad Ali Iqbal akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan serta Jabatan Dasar Pertukaran Asing.

Beliau memulakan kerjaya di BNM pada 2002 dan telah berkhidmat di pelbagai jabatan termasuk Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Pejabat Gabenor, Jabatan Antarabangsa serta sebagai Ketua Pejabat Perwakilan BNM di New York dan London, kata BNM.

Mohamad Ali Iqbal memegang ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Massachusetts Institute of Technology, Sarjana Sains dalam bidang Pengurusan Aset daripada Singapore Management University dan Sarjana Kejuruteraan daripada University of Durham, United Kingdom.

“Beliau ditauliahkan sebagai Chartered Financial Analyst (CFA) dan Chartered Banker (CB) daripada Asian Institute of Chartered Bankers (AICB),” kata BNM. – BERNAMA