KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail hari ini tampil menjelaskan kejadian yang berlaku di Hotel St Regis di sini pada 28 Mei lalu.
Baginda bertitah, pihaknya telah memaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.
“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.
“Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.
“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titah baginda dalam kenyataan.
Tunku Mahkota Ismail juga menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titah baginda. – MalaysiaGazette