KoK Chin menunjukkan barang rampasan dadah yang berjaya dirampas serbuan serentak polis kontinjen Johor di kawasan Johor Bahru, Seri Alam dan Iskandar Puteri, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Aktiviti sindiket antarabangsa menjadikan kondominium dan rumah teres sebagai tempat memproses dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar selepas serbuan serentak polis di Johor Bahru, Seri Alam dan Iskandar Puteri pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw KoK Chin berkata, serbuan dilakukan pukul 3.40 petang sehingga 8.30 malam itu berjaya menahan seramai 14 suspek.

“Penahanan melibatkan dua lelaki warga tempatan, enam lelaki serta enam wanita warga asing berusia 22 hingga 52 tahun ditangkap.

“Hasil pemeriksaan pihak polis aktuviti berkenaan dipercayai mula aktif sejak awal 2024 dan semua suspek yang ditangkap dipercayai terlibat dengan aktiviti memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah dadah sebelum diedarkan ke negara jiran,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam operasi ini, pihak JSJN Johor turut membongkar tempat memproses dan pembungkusan dadah selain merampas dadah dengan anggaran berat 198.54 kilogram (kg) dan dianggarkan bernilai RM11.6 juta di mana ia dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 1.24 juta penagih dadah.

Turut dirampas pelbagai jenis dadah melibatkan serbuk ekstasi, syabu, ketamin, pil ektasi, pil eramin 5, MDMA serta bahan-bahan kimia untuk memproses dadah.

Selain itu, enam kenderaan seperti Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Honda CRV, Lexus, Toyota Vios dan Perodua Kancil juga disita  di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 melibatkan

Turut dirampas, 11 utas jam tangan pelbagai jenis termasuk tiga jam rolex, 13 bentuk pelbagai barang lemas, wang tunai RM204,069, Dollar Singapura 22,970, dengan jumlah nilai sitaan RM1,179, 491.- MalaysiaGazette