KOTA BHARU – Dua Pembantu Penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,300.

Mohd Faizul Mat Nasir dan Mohamad Rasul Mohd Zukri, masing-masing berusia 34 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mohd Faizul didakwa atas pertuduhan menerima suapan RM1,750 pada 16 Julai 2020 manakala Mohamad Rasul didakwa dengan dua pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM2,550 pada 8 September 2020 dan 13 September 2020 dan kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Kota Bharu, di sini.

Mereka didakwa secara rasuah memperoleh suapan daripada pemilik syarikat Kalos Enterprise melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu yang membawa keluar barangan dari kargo KLIA.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali dan Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Adhwa’ Afiqah Mohd Azmi.

Mahkamah membenarkan Mohd Faizul dan Mohamad Rasul dijamin masing-masing RM7,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin selain turut memerintahkan kedua-dua mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast