Ketua Biro Aduan DAP Selangor, Lee Wen Bin bercakap Sidang Media tentang kes tadika yang tidak bertanggungjawab semasa menjaga kanak kanak di 33-2, Jalan Temenggung 9/9, Bandar Mahkota Cheras, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 3 JUN 2024.

KAJANG – Seorang bayi perempuan berusia satu tahun lima bulan didakwa ‘didera’ oleh pengasuh di sebuah taman asuhan kanak- kanak (Taska) di Bandar Mahkota, Cheras pada Mei lalu.

Ibu mangsa, Heng Lee Shuan, 32, berkata, anak tunggalnya itu telah disumbat makanan malah rambut mangsa juga ditarik sehingga putus.

Dia dan suaminya mengetahui kejadian itu selepas menerima beberapa hantaran video daripada bekas pekerja di Taska terbabit pada 28 Mei lalu.

“Dalam video tersebut, jelas memaparkan seorang wanita merupakan pengasuh taska itu telah menyumbat makanan ke dalam mulut anak saya secara paksa dan kasar hingga dia menangis.

“Lebih mengejutkan, bekas pekerja itu mendakwa pengasuh terbabit turut menarik rambut anak saya sehingga putus tapi saya tidak pasti itu rambut dia atau tidak.

“Bekas pekerja itu pun ada bagi gambar rambut tersebut. Dia juga ada beritahu kanak-kanak lain juga didakwa diperlakukan perkara sama seperti anak saya.

“Saya difahamkan juga bekas pekerja yang beri maklumat itu telah berhenti dan hanya bekerja selama seminggu di taska itu sebab tidak mahu bersubahat,” katanya.

Ketua Biro Aduan DAP Selangor, Lee Wen Bin, Peniaga Online, Isteri, Heng Lee Shuan dan Suami, Kenneth Thiah Lae Wei menunjukkan bukti pada Sidang Media tentang kes tadika yang tidak bertanggungjawab semasa menjaga kanak kanak di Bandar Mahkota Cheras, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 3 JUN 2024.

Lee Shuan dan suaminya Kenneth Thiah Lae We, mendedahkan kejadian itu dalam sidang media di Pejabat DAPSY Bandar Mahkota Cheras di sini, hari ini.

Susulan insiden tersebut, pasangan terbabit menghubungi pemilik taska untuk mendapatkan kesahihan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun video yang diperoleh telahpun disunting.

Menurut ibu malang itu, dia amat kecewa dan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan taska tersebut dan bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sungai Long, di sini pada Rabu lalu.

“Saya telah hantar anak saya ke taska ini sejak Mac lalu selepas melihat iklannya di Facebook dengan menawarkan yuran bulanan sebanyak RM1,800.

“Kami memang tidak sangka pengasuh itu tergamak memperlakukan sedemikian pada anak saya sedangkan kami bayar yuran bulan yang tinggi.

“Saya difahamkan terdapat kira-kira 10 kanak-kanak dan dua pengasuh masih bekerja di taska itu. Bukan itu sahaja, anak pemilik taska pun ada dihantar di situ juga,” ujarnya.

Lee Wen Bin menunjukkan bukti pada Sidang Media tentang kes tadika yang tidak bertanggungjawab semasa menjaga kanak kanak di 33-2, Jalan Temenggung 9/9, Bandar Mahkota Cheras, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 3 JUN 2024.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan DAP Selangor, Lee Wen Bin berkata, keluarga mangsa telah tampil membuat laporan polis dan menggesa pihak berwajib untuk mengambil tindakan segera.

“Saya juga difahamkan ada kanak- kanak lain turut menjadi mangsa, kita bimbang lebih ramai lagi yang akan jadi mangsa.

“Jadi saya minta ibu bapa lain yang mungkin hantar anak mereka di taska itu untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan pihak berkuasa.

“Saya juga dimaklumkan bekas pekerja yang berikan maklumat itu telahpun membuat laporan polsi pada Jumaat lalu kerana dia diugut oleh pemilik taska tersebut,” jelasnya.

Wen Bin juga berharap pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dapat menjalankan siasatan termasuk menyemak sama ada pemilik taska itu memilik lesen tang sah atau sebaliknya. – MalaysiaGazette