GEORGE TOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM120,000 di perairan 2.5 batu nautika Barat Muka Head, Teluk Bahang di sini, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti penyeludupan dadah di perairan berkenaan sebelum bot peronda bergegas ke lokasi pada jam 12.40 tengah malam.
Jelas beliau, sebaik tiba di sekitar perairan tersebut, pasukan mendapati sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dan sedang membuang beberapa bungkusan bersinar ke laut.
“Pemeriksaan mendapati empat bungkusan teh Cina itu mengandungi hablur kristal yang disyaki dadah.
“Manakala suspek bersama bot yang membuang dadah itu telah melarikan diri dan terus hilang dari pengesanan radar.
“Bungkusan itu diserah kepada pegawai dan maklumat diterima juga tidak terkecuali adalah daripada koordinasi Op Bersepadu yang dijalankan kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, hasil semakan mendapati dadah berkenaan dipercayai dapat menampung keperluan seramai 18,000 penagih jika ia berjaya dipasarkan.
“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kita berharap penyaluran maklumat seperti ini dapat diteruskan bagi menangani aktiviti penyeludupan dan pembasmian penyalahgunaan dadah di perairan Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette