Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion digunakan sebagai bayaran kepada International Petroleum Investment Co. di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bi­lion digunakan sebagai bayaran kepada International Petroleum Investment Co. (IPIC).

Perbicaraan itu sepatutnya bermula hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Bagaimanapun, Muhammad Jamil membenarkan penangguhan selama dua minggu sehingga 18 Jun ini selepas pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Najib dan Datuk K Kumaraendran mewakili Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah memaklumkan bahawa masih belum menerima pelbagai dokumen berkaitan 48 saksi pendakwaan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi tidak membantah penangguhan itu, sebaliknya memohon tarikh baharu.

Muhammad Jamil berkata, tempoh itu memadai bagi semua pihak meneliti dokumen sebelum perbicaraan penuh bermula sekitar 19 Jun ini.

Pada 2022, Muhammad Jamil menolak permohonan bekas Perdana menteri dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan yang ketika itu sudah ditetapkan perbicaraanya bermula tahun ini.

Selain kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang selesai Khamis lalu, Najib juga berdepan dengan satu lagi kes pengubahan wang haram dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM27 juta yang akan dibicarakan pada September ini.

Bekas Perdana Menteri itu sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah bagi tuduhan menyeleweng dana SRC International yang merupakan anak syarikat 1MDB.

Pada Mac tahun lalu, Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilepaskan mahkamah daripada pertuduhan meminda laporan audit bagi mengelak diri daripada dikenakan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast