Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia dan dua beregu negara iaitu Man Wei Chong-Tee Kai Wun (lelaki) dan Pearly Tan-M. Thinaah (wanita), melepasi halangan di pusingan pertama Terbuka Indonesia 2024 selepas menewaskan lawan masing-masing, hari ini.

Pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 1000 hari ini, menyaksikan Zii Jia menumpaskan wakil Hong Kong Ng Ka Long, 21-17 dan 21-16, sekali gus memastikan ranking ketujuh dunia itu berjaya menewaskan lawan sama sebanyak lima kali berturut-turut.

Zii Jia sebelum ini menewaskan Ka Long di Sukan Asia 2022, Masters Indonesia 2024, Terbuka Thailand 2024 dan Masters Malaysia 2024, selain di Terbuka Jerman 2019.

Beliau seterusnya akan melakukan perhitungan bersama perseorangan China Weng Hong Yang pada pusingan kedua, dan mengikut rekod terakhir sebelum ini di Terbuka Perancis 2023, Zii Jia memenangi perlawanan berkenaan dengan 21-15 dan 21-11.

Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula melakar kejutan, apabila menumpaskan ranking ketiga dunia Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, 20-22, 21-16 dan 21-17 dalam tempoh 59 minit.

Ranking ke-20 dunia itu akhirnya ‘pecah telur’ selepas pertemuan dua kali bertemu pasangan Korea Selatan sebelum ini, menyaksikan mereka tewas iaitu di Masters Malaysia 2023 dan Terbuka Korea 2023.

Wei Chong-Kai Wun seterusnya akan bertemu sama ada pasangan Denmark Rasmus Kjaer-Frederick Sogaard atau Chen Bo Yang-Liu Yi dari China, pada pusingan kedua.

Beregu utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah pula menewaskan Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui dari Taiwan, 21-19 dan 22-20.

Ranking ke-13 dunia itu seterusnya akan melakukan perhitungan bersama pasangan tuan rumah Siti Fadia Silva Ramadhanti-Apriyani Rahayu yang juga pilihan kelapan kejohanan.

Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah hanya pernah menewaskan Siti Fadia-Apriyani sebanyak dua kali  daripada enam pertemuan iaitu di Masters Malaysia 2022 dan Terbuka Perancis 2022.

Sementara itu, dua beregu campuran negara menerima nasib berbeza dengan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ditumpaskan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dari Korea Selatan, 13-21 dan 15-21, manakala pasangan Hong Kong Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau mengalahkan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, 16-21, 21-17 dan 21-10.

Beregu lelaki muda meningkat naik, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri turut menerima nasib sama, apabila menemui titik noktah kepada Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan, 21-18, 16-21, 17-21, manakala perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei ditumpaskan pilihan keenam, Wang Zhi Yi dari China, 15-21 dan 17-21. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast