ACFTA
Bangunan MITI

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa Jatronics Sdn Bhd bukan pengeluar semikonduktor bagi Malaysia.

Sebaliknya menurut kementerian itu, Jatronics berfungsi sebagai syarikat perdagangan bagi aktiviti borong produk semikonduktor dan perkhidmatan fabrikasi.

“Berdasarkan rekod, Jatronics bukan syarikat berdaftar di bawah STA 2010 dan tidak memohon permit eksport,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, syarikat itu bukan pengeluar semikonduktor tetapi syarikat dagang yang menjual peralatan berkait semikonduktor.

Beliau berkata demikian mengulas laporan yang mengatakan Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap Jatronics kerana dakwaan membekalkan komponen penting elektronik untuk ketenteraan Rusia.

Mengulas lanjut MITI berkata, Malaysia telah menguatkuasakan Pengurusan Perdagangan Strategik (STM) menerusi Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA) 2010, dalam kawal selia eksport, transit, pemindahan penghantaran, dan pembrokeran barangan strategik, terutama yang mempunyai potensi bagi aplikasi ketenteraan.

Sehubungan itu katanya, Malaysia mematuhi sekatan multilateral dan senarai pengguna akhir terhad atau dilarang yang diputuskan dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).

“Rusia tidak tersenarai oleh UNSCR, justeru ia tidak termasuk di bawah STA 2010,” tambahnya. – MalaysiaGazette