Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pecah Tanah Westports 2 di Westports Malaysia, Pelabuhan Klang, Selangor.

PELABUHAN KLANG – Pengendali pelabuhan kini berdepan dengan persaingan hebat dan dinamik di rantau ini bagi meningkatkan keupayaan dan kapasiti mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seperti industri lain, syarikat pelabuhan tidak boleh beroperasi secara sendirian sebalik perlu bergerak pantas ke depan.

Menurut beliau, sekiranya mereka masih dibuai kejayaan kecil lampau, ia akan membuatkan pengendali pelabuhan terus ketinggalan.

“Kita tidak boleh bergerak berasingan kerana berdepan dengan persaingan di rantau yang dinamik dan sangat hebat.

“Dan kalau kita lembap dan anggap kejayaan kecil cukup membanggakan kita, akan ketinggalan.

“Kita tidak berjaya dan cemerlang jika tidak melakukan transformasi dalam memudahkan perniagaan dalam cara efisien dan lebih penting mengelakkan ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikiaj pada Majilis Pecah Tanah Westports 2 di Westports Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan Pengerusi Eksekutif Westport Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.

Mengulas lanjut, Anwar memberi jaminan kerajaan dalam meningkatkan keupayaan kapasiti serta prasarana di pelabuhan utama negara.

Jelas beliau, keutamaan itu berikutan kesesakan yang mula dialami beberapa pelabuhan pada masa ini di mana kelulusan yang diperlukan bagi tujuan itu harus disegerakan.

“Tentunya peranan pelabuhan ini kritikal dalam memacu pertumbuhan.

“Jadi isu di Westports ini sudah beberapa kali dibangkit dalam mesyuarat Kabinet menunjukkan ia satu projek penting kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Ruben Emir memberitahu, Westport bersedia menggandakan kapasiti pengendalian kontena dalam masa terdekat dengan pembangunan lapan terminal kontena baharu, dari Terminal Kontena Sepuluh (CT10) hingga Terminal Kontena Tujuh Belas (CT17).

“Kami bersedia untuk menggandakan kapasiti pengendalian kontena kami daripada Empat Belas juta TEU kepada Dua Puluh Lapan juta TEU.

“Pembinaan Terminal Kontena baru ini adalah penting bukan sahaja untuk memenuhi permintaan semasa tetapi juga untuk bersedia bagi pertumbuhan dalam jumlah perdagangan yang dijangka meningkat dalam dekad akan datang,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pecah Tanah Westports 2 di Westports Malaysia, Pelabuhan Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 27

Beliau menambah, sembilan Terminal Kontena sedia ada di Westports kini beroperasi pada kadar penggunaan lapan puluh peratus dan ianya akan mencapai kapasiti maksimum dalam beberapa tahun akan datang.

Westports 2 akan mewujudkan zon bebas baharu dengan keluasan tanah, lima ratus lima puluh (550) ekar.

Kawasan zon bebas ini akan menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan merangsang lebih banyak Pusat Pengedaran Serantau dan Global seperti IKEA, Robert Bosch dan Marks & Spencer yang sedia ada di sini.

Westports 2 juga akan dibangunkan dengan automasi dan pendigitalan, dimana lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi akan diwujudkan untuk rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast