KUALA LUMPUR — Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai Geran Sejahtera Madani berjumlah RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, pengusaha pasar malam serta golongan ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah.
MIER turut mengalu-alukan tambahan pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion yang menjadikan jumlah peruntukan bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
Menurut MIER, langkah itu menyediakan sokongan tepat pada masanya kepada segmen perusahaan mikro yang sering berdepan kesukaran lebih besar untuk mendapatkan pembiayaan formal.
“Peningkatan ambang hasil tahunan bagi pelaksanaan mandatori e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta juga merupakan perkembangan positif bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Pengecualian kepada perniagaan dengan hasil tahunan tidak melebihi RM3 juta akan mengurangkan kos pematuhan dan keperluan pentadbiran bagi ramai usahawan,” menurut MIER dalam kenyataan.
Bagaimanapun, MIER berkata cabaran utama dalam jangka panjang adalah isu pertindihan dan pemecahan program bantuan antara kementerian, agensi kerajaan serta institusi kewangan.
Katanya, meskipun dana yang besar tersedia, penyelarasan lebih baik diperlukan bagi memudahkan akses, mengurangkan pertindihan dan memastikan bantuan disalurkan kepada perniagaan yang tepat mengikut tahap perkembangan masing-masing.
MIER turut menekankan keperluan memberi lebih tumpuan kepada hasil bantuan berbanding jumlah peruntukan yang disalurkan.
“Keberkesanan seharusnya semakin dinilai berdasarkan petunjuk seperti kelangsungan perniagaan, produktiviti, pertumbuhan pendapatan, pewujudan pekerjaan serta keupayaan perusahaan mikro mencapai kelestarian atau, jika sesuai, beralih kepada pembiayaan dan pasaran berskala lebih besar,” katanya.
Menurut MIER, pendekatan maklumat bersepadu secara “sehenti” boleh membantu usahawan mengenal pasti dan mendapatkan pembiayaan, geran, jaminan, bantuan pendigitalan, khidmat nasihat serta pembangunan kemahiran melalui sistem yang lebih terselaras.
Katanya, ekosistem pembiayaan yang lebih tersusun juga dapat meningkatkan kualiti penilaian, pemantauan dan sokongan perniagaan.
MIER berkata, agensi kerajaan dan institusi kewangan swasta mempunyai keupayaan berbeza dalam menilai daya maju dan potensi perniagaan, namun penilaian serta susulan berkesan sering memerlukan pengetahuan khusus mengikut sektor yang melangkaui pemeriksaan kelayakan dan kewangan biasa.
“Tidak semua institusi mempunyai keupayaan untuk menyediakan sokongan berterusan atau membantu perniagaan menangani masalah operasi,” katanya.
Penyelarasan yang lebih baik juga, menurut MIER, membolehkan data, pengalaman dan pengetahuan institusi dikumpulkan dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh, sesebuah gerai di tepi jalan mungkin berjaya kerana faktor lokasi, manakala usahawan berpengalaman mempunyai naluri untuk mengenal pasti peluang berkenaan.
Bagaimanapun, MIER berkata, elemen pengetahuan praktikal itu boleh diformalkan melalui data, pemantauan dan analisis yang lebih baik merangkumi penilaian lokasi, persaingan, penetapan harga, pengurusan aliran tunai, perakaunan dan permintaan pelanggan.
“Ekosistem pembiayaan bukan sahaja boleh menjadi sumber modal, malah platform untuk membina keupayaan.
“Usahawan perlu mempunyai akses kepada pengetahuan asas yang diperlukan untuk menilai peluang, mengurus perniagaan dan membuat keputusan berdasarkan maklumat,” katanya.
MIER berkata, hala tuju dasar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia selepas ini perlu beralih daripada sekadar meningkatkan jumlah bantuan kepada pembinaan ekosistem yang lebih terselaras, mudah diakses dan berorientasikan hasil.
Katanya, matlamatnya adalah menyediakan bantuan yang tepat pada peringkat perkembangan yang sesuai, di samping membina pengetahuan dan keupayaan institusi serta memaksimumkan pulangan ekonomi dan sosial daripada sumber awam.
“MIER percaya peningkatan dinamisme, daya tahan dan keupayaan PMKS Malaysia akan mengukuhkan sumbangan sektor itu terhadap pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan ekonomi yang lebih pelbagai, berdaya saing dan berdaya tahan pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















