KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) hari ini mengemukakan kertas rundingan bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan pindaan peraturan bagi memudahkan proses pendigitalan sekuriti yang didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd.
Menurut Bursa Malaysia, pindaan itu membabitkan Peraturan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd serta pindaan susulan terhadap Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE.
Cadangan berkenaan akan menghapuskan keperluan penerbitan dan penyimpanan sijil pukal fizikal sebagai bukti hak milik atau pemilikan sekuriti yang didepositkan.
“Cadangan pindaan ini bertujuan menyokong proses depositori yang lebih cekap dan mampan dengan mengurangkan kebergantungan terhadap dokumentasi berasaskan kertas serta mempermudah langkah utama dalam proses pendepositan sekuriti,” menurut Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini.
Kertas rundingan itu antara lain mencadangkan penyederhanaan proses pendepositan sekuriti, memperkukuh peranan penerbit dan pendaftar saham serta memperkenalkan peruntukan peralihan bagi pemulangan dan pembatalan skrip fizikal.
Menurut Bursa Malaysia, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memodenkan dan mendigitalkan proses pasaran dengan mengurangkan kebergantungan terhadap dokumen fizikal.
Langkah berkenaan dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan mempercepatkan proses pasaran, selain mengurangkan risiko berkaitan dokumen fizikal serta kos penerbitan dan penghantaran sijil pukal fizikal dan perbelanjaan pentadbiran berkaitan.
Bursa Malaysia telah melaksanakan Fasa 1 pendigitalan sekuriti sejak 1 Ogos 2025 dan merekodkan lebih 2,700 penerbitan sekuriti yang didigitalkan setakat 28 Ogos 2026.
Fasa 2 yang menjadi subjek rundingan kali ini akan memperluaskan rangka kerja pendigitalan kepada semua sekuriti, sekali gus menjadi langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran pasaran tanpa skrip fizikal.
Rundingan awam itu berlangsung selama enam minggu mulai 1 September hingga 13 Oktober 2026, dan Bursa Malaysia mengalu-alukan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan.
Maklum balas yang diterima sepanjang tempoh rundingan akan diteliti dan dipertimbangkan sebelum pindaan yang dicadangkan dimuktamadkan. – MalaysiaGazette
















