KEPALA BATAS – Seorang kanak-kanak perempuan autisme maut selepas lemas dalam kolam renang yang sedang dalam pembaikan di sebuah taman tema air di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Zulkeflee Sulaiman berkata, kehilangan anak bongsu daripada empat beradik itu disedari ibunya kira-kira jam 3.30 petang.
Jelas beliau, wanita itu kemudian meminta bantuan pekerja taman tema tersebut mencari anaknya sebelum kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam kolam renang dewasa sedalam 0.7 meter yang dalam proses pembaikan.
“Hasil siasatan mendapati wanita itu bersama empat anak serta ibunya datang dari Selangor untuk bercuti ke negeri ini.
“Sementara menunggu proses daftar masuk ke bilik hotel, wanita serta empat anaknya mandi di taman tema tesebut sebelum tiba-tiba dia dapati anak bongsunya hilang dari pandangan mereka.
“Mangsa berusia lima tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Kepala Batas dan proses bedah siasat pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Zulkeflee, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) memandangkan tiada sebarang unsur jenayah.
“Bagaimanapun siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2021 kerana pengabaian dan kecuaian oleh penjaga,” katanya.
Difahamkan, jenazah Melur Atheeya Muhammad Irman dibawa pulang ke Semenyih untuk pengebumian selepas selesai proses bedah siasat. – MalaysiaGazette