Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan memohon semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum YPDA ke-16 supaya boleh jalani saki baki hukuman sebagai tahanan dalam rumah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 05 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menangguhkan keputusan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menetapkan tarikh baharu iaitu 3 Julai depan bagi keputusan permohonan yang dilakukan bekas Perdana Menteri itu.

Melalui pasukan pendakwaan, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly berkata bahawa keputusan itu dibuat setelah pasukan peguam yang mewakili Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan ‘saat akhir’.

Pasukan pembelaan memohon untuk memasukkan afidavit baharu Najib selain afidavit Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyokong permohonan Najib.

Perkara itu kemudian disahkan oleh Muhammad Shafee kepada media.

Pada minggu lalu, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan ismail mendakwa beliau mengetahui tentang dakwaan perintah addendum bagi membolehkan Najib menjalani hukuman penjara di rumah.

Beliau berkata, perkara itu disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 30 Januari lepas.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Beliau memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Dalam permohonan itu, beliau memohon perintah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum, selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, satu petisyen pengampunan diraja telah dimohon pada September 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast