KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui tugas berat menanti anak buahnya yang akan berkunjung ke Stadium Temerloh bagi menghadapi Sri Pahang FC dalam aksi kalah mati Piala FA 2024-2025.
Menurut beliau, pertemuan menentang skuad Tok Gajah itu pada 14 Jun depan bukan satu tugas yang mudah dan beliau mahu mempersiapkan barisan serangan terbaik menjelang perlawanan itu bagi mengintai peluang untuk mara ke suku akhir.
Penang FC yang mencatatkan keputusan seri dalam tiga perlawanan pertama dalam aksi Liga Super musim ini dilihat mempunyai sedikit kelainan dengan bantuan beberapa kombinasi pemain muda yang dibawa oleh Akmal dari skuad bawah-23 tahun musim lalu.
Secara keseluruhan Akmal gembira dengan corak permainan yang ditampilkan pemain muda dalam skuad Penang FC apabila diberi peluang bermain dan menyifatkan ini adalah satu petanda positif untuk pasukan.
“Walaupun ramai pemain muda, mereka semua sudah serasi dan faham dengan taktikal dan perancangan pasukan ini,” katanya kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Akmal dalam satu temubual juga menyedari skuad Tok Gajah pada musim ini dibarisi pemain yang lebih baik namun enggan memberi laluan mudah dan melaungkan keyakinan, skuadnya akan memberi tentangan yang terbaik.
“Mereka pasukan yang baik namun tidak mustahil, walaupun kita bermain di Temerloh kita akan beri tentangan yang terbaik,” katanya.
Jurulatih berusia 42 tahun itu bagaimanapun menuntut komitmen dan kerja keras setiap anak buahnya untuk memastikan mereka mampu memberi saingan dan sekali gus layak ke suku akhir Piala FA musim ini.
“Walaupun ramai pemain baru dalam skuad musim ini, mereka sudah serasi dan faham dengan perancangan pasukan syukur keserasian ini semakin bertambah hari demi hari” tambah Akmal lagi. – MalaysiaGazette