Temubual SKOP MG bersama Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad di Malaysia Gazette. Foto SYADILA AMARI, 06 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Pola keputusan subjek matematik Sijil Pelajaran Malaysia mendapati kumpulan calon yang mendapat gred D, E dan Gagal meningkat dengan signifikan sejak tahun 2021.

Manakala calon yang mendapat gred kepujian pula mengecil, juga secara ketara mulai 2021.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia , Dr Anuar Ahmad berkata, peratus calon yang mendapat gred cemerlang seperti kekal tidak banyak berubah sejak 2017.

Menurut beliau, berdasarkan pola tersebut bermakna bermula pada tahun 2021, jurang pencapaian murid dalam matematik SPM semakin melebar antara kumpulan pencapaian cemerlang dan kumpulan murid D,E dan G.

“Soalannya, mengapa bilangan murid dalam kumpulan kategori D, E dan G semakin bertambah dan kumpulan kepujian pula semakin merosot mulai tahun 2021?

“Sepatutnya pencapaian SPM dikatakan meningkat bila kumpulan D,E dan G makin mengecil, manakala kumpulan kepujian yang meningkat. Barulah jurang pencapaian antara kumpulan tinggi dan kumpulan rendah berjaya dikurangkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anuar berkata, berdasarkan pola berkenaan, beliau hanya ada satu sahaja hipotesis yang sesuai iaitu faktor Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) kerana pada tahun 2021, soalan KBAT telah mencapai 50% dalam SPM.

“Jika hipotesis ini boleh dipertimbangkan, memang kita boleh nampak wujudnya jurang yang semakin besar antara calon prestasi tinggi dan prestasi rendah sejak 2021.

“Jika hipotesis ini diuji, mungkinkah kita akan dapati bahawa pelaksanaan KBAT telah memberi ‘advantage’ kepada kumpulan calon SPM berprestasi tinggi. Prestasi mereka kekal tidak banyak berubah.

“Sebaliknya mungkinkah menjadi ‘disadvantage’, ‘beban’ atau ‘sumpahan’ pada murid yang berprestasi rendah (misalnya kumpulan yang tidak mahir membaca atau yang tidak menguasai konsep asas Matematik terpaksa juga menjawab soalan KBAT?),” hujah Anuar.

Bagaimanapun, katanya, ia hanyalah hipotesis kerana dalam kajian, hipotesis perlu dibuktikan dengan data kajian.

Justeru, cadang beliau, bolehlah mulakan kajian pada yang berminat “adakah benar KBAT telah melebarkan jurang pencapaian pendidikan?”.

Kegusaran beliau adalah murid yang pandai kekal pandai, murid yang lemah bilangan terus berganda, ibarat, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.

Jelasnya, KBAT walaupun ideanya baik, perlu dilaksanakan secara berhati hati dan berkesan, jika tidak, dibimbangi KBAT akan menyumbang kepada melebarnya jurang pencapaian pendidikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast