Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada The 37th Asia-Pacific Roundtable (APR) ketika di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2024.

KUALA LUMPUR –  Malaysia kekal dengan pendirian untuk tetap mempertahan keamanan serta mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan Malaysia tidak memihak kepada mana-mana pihak sebaliknya akan menyokong mengikut acuan dan strategi sendiri.

Pada masa sama, beliau menegaskan, kerajaan akan meneruskan usaha yang produktif dengan menjalinkan hubungan bermakna dengan rakan-rakan kongsi yang lain.

“Kami adalah negara bebas dan maksudnya kita enggan ditakrifkan bagaimana kuasa besar melihat dunia dan Malaysia yang akan terus berusaha untuk kepentingan nasional di mana strategik kita mengikut terma sendiri.

“Malaysia berdiri untuk keamanan, kemajuan dan perasaan bersama di mana di atas semua ini dengan mematuhi undang-undang dan kerjasama antarabangsa secara berterusan.

“Dalam hal ini, Malaysia mengekalkan hubungan kukuh dengan China dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapannya ketika hadir merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-37 di sebuah hotel di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama tetamu selepas hadir pada The 37th Asia-Pacific Roundtable (APR) ketika di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2024.

Berhubung krisis Myanmar, Anwar menambah, Malaysia akan bekerjasama dengan negara ASEAN serta rakan dialog dalam menyelesaikan krisis di negara itu untuk mendorong keamanan, mencari mekanisme kemanusiaan yang lebih berkesan dan penglibatan politik semua pihak berkepentingan yang berkaitan di negara itu.

“Sebagai rakan dan saudara negara Myanmar di Asia Tenggara, Malaysia secara konsisten menyeru untuk menghentikan keganasan yang berterusan, menamatkan sejarah peminggiran politik terhadap semua rakyat Myanmar, dan pematuhan kepada Konsensus Lima Perkara yang dicapai bersama di Jakarta, pada April 2021,” katanya.

Sementara itu, Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-37 yang berlangsung selama tiga hari turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan lebih 400 perwakilan dari rantau Asia Pasifik.

Beliau mengetuai perbincangan mengenai ‘ASEAN pada 2025: Merenung Masa Lalu, Membentuk Masa Depan’ pada sesi pleno kedua persidangan itu.

Acara yang dianjurkan oleh badan pemikir Malaysia, Institut Kajian Strategik & Antarabangsa (ISIS) merupakan platform untuk menangani isu-isu penting yang mempengaruhi rantau Asia-Pasifik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast