KPDN Pulau Pinang menahan dua pemandu lori terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel di Pulau Pinang.

Saudara Pengarang,

Kebelakangan ini, ramai antara kita merasa risau apabila mendengar tentang penayasaran subsidi bahan api yang sedang diperkenalkan oleh kerajaan.

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Malaysia bersiap sedia untuk pelaksanaan inisiatif ini, saya sedar bahawa ini adalah satu perubahan besar yang memerlukan kita semua untuk bersatu hati dan bekerjasama demi kebaikan bersama.

Kementerian Kewangan juga telah pun mengumumkan pelancaran program Budi Madani, yang akan memberikan bantuan tunai kepada pemilik kenderaan diesel yang layak, seperti golongan B40, petani, dan pekebun kecil. Langkah ini merupakan permulaan kepada perubahan yang lebih besar dalam negara, kerana ia mungkin langkah pertama untuk penyasaran subsidi lain seperti petrol RON 95.

Kita harus bersikap realistik walaupun kenaikan harga bahan api boleh menjadi sesuatu yang menakutkan. Selepas berfikir panjang, saya percaya bahawa walaupun ini mungkin sukar diterima, ia adalah langkah yang tepat untuk kesejahteraan negara kita. Terdapat beberapa sebab mengapa saya percaya keputusan kerajaan ini, walaupun tidak popular, adalah suatu langkah ke arah yang betul.

Pertama, jumlah wang yang “lesap” di bawah sistem lama adalah amat besar – lebih kurang RM4.5 juta setiap hari! Setiap tahun, kerajaan dianggarkan kerugian berbilion ringgit, termasuk kepada aktiviti penyeludupan diesel.

Namun, kerajaan telah mengumumkan bahawa penjimatan dari program penyasaran subsidi ini akan disalurkan kepada antara lain, pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak kita, sistem kesihatan yang lebih baik untuk keluarga kita, dan aliran barangan yang lebih lancar di seluruh negara. Dengan menutup ketirisan ini, kerajaan pada dasarnya membebaskan sumber yang boleh memberi manfaat langsung kepada kehidupan harian kita.

Kedua, keadilan adalah aspek penting. Sistem sebelum ini terasa seperti pendekatan satu saiz untuk semua. Orang kaya yang mengisi kereta mewah mereka, juga menikmati subsidi yang sama seperti rakyat biasa macam saya. Sistem subsidi bersasar baharu ini akan memastikan hanya mereka yang benar-benar memerlukan sokongan, iaitu rakyat Malaysia biasa yang bergantung pada diesel untuk pengangkutan dan kerja, akan mendapat manfaat.

Pengenalan program Budi Madani dengan bantuan RM200 sebulan adalah langkah yang dialu-alukan ke arah ini, menawarkan perlindungan yang sangat diperlukan terhadap kenaikan harga diesel.

Pada masa yang sama, saya berharap kerajaan mengekalkan ketelusan dan komunikasi terbuka semasa tempoh peralihan ini. Pihak berkuasa perlu mengemaskini informasi, dan maklumat yang jelas perlu diberi tentang bagaimana dana yang dijimatkan akan disalurkan semula untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup. Ini akan membantu membina kepercayaan dan pemahaman awam terhadap kerajaan. Rakyat juga  lebih cenderung menyokong perubahan apabila mereka dapat melihat manfaat sebenar dalam kehidupan harian mereka.

Walaupun perjalanan ini mungkin mencabar, destinasinya menjanjikan sebuah negara dengan ekonomi yang lebih kuat dan berdaya saing. Kita perlu menerima perubahan ini dengan minda yang terbuka dan patut beri peluang kepada sistem baharu ini untuk membuktikan keberkesanannya.

Rosli Bakar
Muar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast