Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Dr Azmi Sharom (dua kanan) menyerahkan sijil watikah pelantikan kepada Khairulnizam Hashim sebagai pegawai pengurus sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap selepas sidang media di Menara SPR, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 JUN 2024

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, tarikh undi awal pula ditetapkan pada 2 Julai depan.

“Hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap ditetapkan pada 6 Julai manakala hari penamaaan calon pada 22 Jun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR, di sini, hari ini.

Kerusi DUN Sungai Bakap diisytihar kosong selepas penyandangnya, Nor Zamri Latiff dari Pas meninggal dunia pada 24 Mei lalu, selepas dimasukkan ke hospital kerana mengalami keradangan dalam perut.

SPR turut menetapkan tempoh 14 hari untuk kempen PRK itu.

Seramai 39,279 pengundi kawasan itu layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari yang dikemaskini sehingga April lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 39,222 orang adalah pengundi biasa, dan 57 orang anggota polis.

“PRK DUN Sungai Bakap melibatkan perbelanjaan RM2.1 juta,” jelasnya.

Azmi berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK DUN Sungai Bakap akan dibuka bermula hari ini.

Tambahnya, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses pilihan raya manakala dua pasukan penguat kuasa ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang PRK.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK terbabit adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan setakat April yang dikemas kini pada 24 Mei lalu. DPPR ini mengandungi seramai 39,279 pemilih,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast