KUALA LUMPUR -Jualan Mega Malaysia 2024 kembali dianjurkan setelah empat tahun ditangguhkan bagi mempromosikan produk pelancongan tempatan, bermula 15 Jun hingga 31 Julai 2024.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kempen ini tidak hanya tertumpu kepada aktiviti membeli belah, sebaliknya akan mengetengahkan seni dan budaya serta pelbagai hidangan tradisi di Malaysia.
“Keunikkan kali ini kita mahu tampilkan pada masyarakat dunia betapa indahnya budaya kita (Malaysia) yang akan membuatkan mereka datang ke sini yang tidak promosikan sebelum ini.
“Ini juga salah satu cabang untuk memastikan seni budaya kita tidak terpinggir sama sekali dan mengangkatnya di mata dunia yang bukan hanya dikeali sebagai pusat membeli-belah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen Jualan Mega Malaysia 2024 di Pavilion Kuala Lumpur, hari ini.
Menerusi penganjuran kempen ini, Khairul Firdaus yakin sasaran pendapatan pelancongan pada tahun ini mampu mencecah RM10.27 billion.
Katanya, walaupun berlaku ketidaktentuan ekonomi global ketika ini yang mempengaruhi nilai ringgit, ia mampu memberi kelebihan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.
“Saya yakin krisis itu mampu memberi peluang baharu untuk kita pastikan pada masyarakat di luar sana dapat berbelanja dengan sebaik mungkin di Malaysia.
“Selain itu, ia dapat memberi kepuasan dan mengembirakan mereka apabila berbelanja di negara ini kerana inilah masa yang tepat disebabkan mata wang kita rendah,” jelasnya.
Mengulas lanjut katanya, kali terakhir kempen Jualan Mega Malaysia dianjurkan pada 2019, termasuk Malaysia Super Sale dan Malaysia Year End Sale yang meraih jumlah perbelanjaan pelancongan bernilai RM86.14 bilion. – MalaysiaGazette