Kesalahan menghalang lalu lintas atas alasan tiada ruang parkir antara saman tertinggi direkodkan dalam Ops Hormat Undang Undang di ibu negara selama tiga hari sejak 4 Jun lalu oleh JSPT KL. Ihsan gambar JSPT KL.

KUALA LUMPUR – Alasan pengguna mahu meletakkan kenderaan sebentar dan tiada tempat letak kereta  merupakan kesalahan halangan lalu lintas yang merekodkan jumlah saman tertinggi sepanjang tiga hari pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang (HUU) di ibu negara bermula 4 Jun yang lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya telah menjalankan sebanyak 63 operasi di ibu negara sejak Selasa lalu dan hasilnya sebanyak 9,427 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh pemandu kenderaan sehingga Khamis.

Katanya, hasil operasi itu mendapati halangan lalu lintas mencatatkan jumlah kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 7,123 saman dikeluarkan.

Manakala sebanyak 699 saman dikenakan kepada pengguna yang meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki.

Kesalahan menghalang lalu lintas atas alasan tiada ruang parkir antara saman tertinggi direkodkan dalam Ops Patuh Undang Undang di ibu negara selama tiga hari sejak 4 Jun lalu oleh JSPT KL. Ihsan gambar JSPT KL.

Untuk kesalahan tidak memiliki lesen memandu pula sebanyak 236 saman telah dikeluarkan oleh pegawai JSPT KL.

“Selain itu, sebanyak 155 saman dikeluarkan ke atas pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan cukai jalan tamat tempoh, disusuli 101 saman dikeluarkan untuk kesalahan nombor kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Sementara itu, sebanyak 81 saman dikenakan untuk kesalahan tiada cermin sisi pada kenderaan diikuti 63 helai saman atas kesalahan menggunakan alat telekomunikasi (telefon bimbit) semasa memandu kenderaan, empat saman dikeluarkan untuk kesalahan tidak menampal pelekat P, kesalahan tidak mengikat kemas topi keledar (39) dan beberapa kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesalahan menghalang lalu lintas atas alasan tiada ruang parkir antara saman tertinggi direkodkan dalam Ops Patuh Undang Undang di ibu negara selama tiga hari sejak 4 Jun lalu oleh JSPT KL. Ihsan gambar JSPT KL.

Tambah Sarifudin, Operasi Hormat Undang-Undang ini turut melibatkan pelaksanaan Op Telefon Bimbit, Op Motosikal, Op Had Laju, Op Perdagangan dan Op Halangan.

Pun begitu katanya, pihak JSPT KL tidak mengambil sebarang tindakan sitaan kenderaan dalam kesemua operasi tersebut.

“Sebaliknya, hanya 25 tangkapan telah dilakukan pasukan JSPT KL ke atas pesalah jalan raya,’ ujarnya.

Pada 31 Mei lalu, Polis Kuala Lumpur memaklumkan JSPT KL akan melaksanakan Operasi Hormat Undang-Undang (Op HUU) di ibu negara sehingga 15 Jun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi itu akan berkonsepkan memberi penekanan utama membabitkan kesalahan halangan lalu lintas, garisan putih, nombor pendaftaran, motosikal, didik, parkir haram, lampu merah dan telefon bimbit.

Sebelum ini, Op HUU telah dilaksanakan dalam dua fasa yang mana Fasa 1 dilaksanakan pada 3 hingga 31 Julai 2023 manakala Fasa 2 pula dikuatkuasakan pada 15 sehingga 29 September 2023.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast