KUALA LUMPUR – Program Permohonan Kewarganegaraan yang tular di media sosial tidak melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bukan juga anjurannya.

Malah, JPN menegaskan program berkenaan bukan anjuran bersama dan tiada jemputan penyertaannya ke program terbabit.

JPN menjelaskan, permohonan berkaitan kewarganegaraan hanya boleh dibuat di kaunter Pejabat JPN sahaja dengan kehadiran pemohon itu sendiri.

“JPN sentiasa ingin menegaskan penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.

“Proses yang dilaksanakan oleh kerajaan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” tegasnya.

Gambar tentang penganjuran taklimat kewarganegaraan yang tular di Facebook.

Program itu menjadi persoalan netizen apabila posternya menjadi tular di Facebook,

Program Permohonan Kewarganegaraan itu dijadual berlangsung di pada 30 Jun 2024, di Plaza Sentosa, Johor Bahru.

Ia dikatakan berlangsung pada jam 1.30 petang hingga 5.30 petang.

Pemohon diminta membawa salinan dokumen berkaitan.

Poster berkenaan turut memaparkan gambar Ketua Pengimbang Johor dan Ahli Dewan Undangan Stulang, Andrew Chen Kah Eng dan penyelia program, Yeap Choon Keong.

Di Facebook juga tular Program Taklimat Kewarganegaraan dengan bunting yang memaparkan Jata Negara Malaysia, dirancang diadakan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan pada 9 Jun 2024, mulai jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Menerusi Facebook juga, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan bersama bunting yang memaparkan program berkenaan sambal menunjukkan tanda bagus. MalaysiaGazette