KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili ibu bapa kanak-kanak autisme yang menjadi mangsa bunuh, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin akan menghantar permohonan kali kedua kepada polis untuk mengadakan pertemuan dengan kedua-dua anak guamnya yang masih berada tahanan reman.
Bekas Timbalan Pendakwa Raya selaku peguam yang mewakili pasangan itu, Fahmi Abd Moin ketika dihubungi berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meluluskan permohonan itu dan membenarkan pertemuan diadakan sebelum tempoh reman kedua mereka selama enam hari berakhir pada 12 Jun ini.
Setakat ini, pihaknya tidak diberikan akses oleh polis untuk bertemu kedua-dua anak guam mereka.
“Setakat ini, kami juga tidak menerima apa-apa maklum balas kepada permohonan pertama yang pernah dihantar kepada polis sebelum ini.
“Bagaimanapun kami tidak berputus asa dan akan menghantar permohonan kali kedua pada esok (Isnin) meminta polis membenarkan kami untuk bertemu anak guam (ibu bapa Zayn),” katanya pada hari ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan setakat ini mendapati wujud percanggahan dalam keterangan yang diberikan oleh ibu, bapa dan saksi lain membabitkan kes pembunuhan Zayn Rayyan.
“Berikutan perkembangan terbaharu itu, polis telah memohon perlanjutan tempoh reman selama enam hari lagi terhadap ibu bapa mangsa bagi melengkapkan kertas siasatan.
Pada 7 Jun lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan sambung reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan sehingga 12 Jun ini bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut.
Setakat ini, tiga individu iaitu bekas pengasuh dan dua ahli keluarga telah dipanggil untuk dirakam keterangan.-MalaysiaGazette