Pelancaran Buku Pesona Kebaya - The Enchanting of Kebaya 2024 hasil kerjasama bersama FM Group, semalam.

KUALA LUMPUR – Tahun lalu, pakaian tradisional kebaya telah dihantar pencalonan ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage (ICH) of Humanity.

Pencalonan itu dibuat oleh Malaysia bersama dengan Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand memandangkan pakaian tersebut mewakili warisan budaya dan identity negara masing-masing.

Di negara ini, kebaya merupakan pakaian yang mewakili warisan budaya dan identiti penting bagi kaum wanita Melayu, Peranakan (Baba Nyonya, Chetti dan Jawi) dan lain-lain masyarakat di Malaysia.

Disebabkan faktor ini, ia menjadi pilihan buat dua pereka fesyen Jonathan Kok dan Farel Mikhail untuk menghasilkan buku Pesona Kebaya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi mempromosi baju kebaya di dalam dan luar negara.

“Ada yang bertanya, kenapa memilih kebaya sedangkan banyak lagi pakaian tradisional lain yang boleh dijadikan buku. Ini kerana, kebaya mempunyai tarikan dan keunikannya yang tersendiri selain merupakan warisan budaya kita yang harus kita hargai.

“Dalam buku ini, apa yang kami buat adalah untuk memperkasakan baju kebaya yang menjadi budaya Malaysia.

“Kami hendak masyarakat tahu kebaya di Malaysia bukan hanya Kebaya Nyonya dan Kebaya pramugari, sebenarnya ada sepuluh lagi jenis kebaya yang kita patut tahu dan perlu diketengahkan,” katanya pada majlis pelancaran buku buku Pesona Kebaya – The Enchanting of Kebaya 2024  semalam.

Penghasilan buku itu turut mendapat sokongan daripada Jabatan Warisan Negara dan Kolej Komuniti Selayang serta FM Group.

Usahawan selebriti, Kak KM turut menggayakan baju kebaya rekaan Jonathan Kok dan Farel Mikhail.

Jonathan menambah, antara kebaya yang saya maksudkan adalah kebaya Perlis, Pahang, Johor-Riau, Kota Bharu dan banyak lagi. Semuanya kebaya tetapi ada perbezaan dan kelebihan tersendiri yang kita semua harus tahu.

Selain itu katnya, buku itu juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pelajar yang mengambil bidang fesyen atau sesiapa sahaja yang meminati fesyen. Untuk melihat perbezaan seperti pola dan cara jahitannya.

“Jika sebelum ini ada yang mendakwa kebaya berasal dari Indonesia atau Thailand sahaja. Sebenarnya ada perbezaan.

“Menerusi buku ini, masyarakat dapat tahu dan membezakan kebaya Malaysia dengan negara-negara lain. Kebaya Malaysia sudah tentu ada keunikannya tersendiri.

“Sementara itu, kami berharap kerjasama antara FM Group dengan MOTAC ini dapat memperkenalkan lagi kebaya Malaysia di peringkat antarabangsa,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast