Eng Leong (atas) Kok Siang didakwa atas 10 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan telah meminta RM4 juta dan menerima RM2,675,150 daripada seorang pengarah syarikat bagi membantu menyelesaikan masalah duti eksais dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada September 2019.

Tertuduh, Chan Eng Leong dan Tan Kok Siang yang masing-masing berusia 50 tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, Eng Leong dan Kok Siang telah meminta rasuah daripada Pengarah syarikat GTM Land & Property Sdn. Bhd., Goh Choon Kim berjumlah RM4 juta.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hote di Bukit Mertajam dekat sini, pada 12 September 2019.

Eng Leong dibenarkan ikat jamin RM100,000 bagi kesemua 10 pertuduhan.

Bagi sembilan pertuduhan lagi, kedua-dua mereka didakwa menerima wang berjumlah RM2,675,150 melalui sembilan keping cek yang didepositkan ke dalam akaun Maybank syarikat Hotspot Capital (M) Sdn. Bhd. milik Eng Leong.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Queensbay Mall, Bayan Lepas pada 12 September 2019.

Mereka didakwa meminta dan menerima rasuah itu sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan masalah duti eksais dengan JKDM bernilai RM108 juta yang dihadapi oleh syarikat Global Tobacco Manufacturers (Int.) Sdn. Bhd.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wirna Ariffin dan Muhammad Taufik Awaludin dan Mohd Syahzada Azad Sanusi manakala Eng Leong diwakili peguam, RSN Rayer dan Kok Siang, S. Meharaj.

Kok Siang turut dibenarkan ikat jamin.

Ketika prosiding, Wirna menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap seorang tertuduh bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka selain meminta mahkamah menetapkan syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Zulhazmi kemudian menetapkan masing-masing tertuduh perlu membayar jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan tiga syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah, laporan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran serta dilarang menganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 2 Ogos depan sebagai  sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast