BUKIT MERTAJAM – Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) pelbagai warganegara selepas melakukan serbuan mengejut di sebuah terminal bas di sini, semalam.
Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, seramai 198 warga asing yang sedang menunggu serta berada dalam bas diperiksa dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu.
“Bagaimanapun, 20 individu daripada jumlah yang diperiksa itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan, pas yang sah selain ada yang telah tinggal lebih masa.
“Mengikut pecahan mereka yang ditahan berusia enam hingga 45 tahun dan terdiri daripada warga Nepal, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.
“Kesemua tangkapan terbabit ditahan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut jabatan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tambah kenyataan itu, Jabatan Imigresen Pulau Pinang akan terus mengadakan pemeriksaan dan serbuan di mana-mana premis dalam usaha mengesan serta membanteras Pati.
“Keprihatinan masyarakat juga adalah penting dalam menyalurkan maklumat berkaitan Pati bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette