Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Raza (kiri) , Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin (kanan) dan Pengerusi Pelabuhan Kuantan, Lee Chun Fai (dua dari kanan) dalam satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (Kuantan Port) di sini hari ini.

MoU berkenaan menandakan kerjasama dalam perkhidmatan pengangkutan kargo Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi Januari 2027.

MoU itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan di Malaysia malah melancarkan pengangkutan kargo menyelusuri rangkaian ECRL sejauh 655 kilometer (km).

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, perjanjian itu menjadikan ECRL perkhidmatan logistik yang boleh dipercayai selain menjadikannya sebagai satu pengangkutan berdaya maju.

“ECRL akan meningkatkan kesalinghubungan serantau serta pembangunan ekonomi seterusnya disokong dengan ‘jambatan darat’ yang akan menghubungkan dermaga Kuantan Port ke dermaga di Northport dan Westports di Pelabuhan Klang.

“Kebergantungan ini penting untuk menghubungkan Pelabuhan Kuantan dan Klang kerana dapat menyelaraskan pemindahan barang di antara dua pelabuhan itu seterusnya mengelakkan sebarang isu pengendalian berganda kargo,” katanya dalam sidang media selepas pemeteraian dua MoU itu di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dan Pengerusi Pelabuhan Kuantan, Lee Chun Fai.

Sementara itu, Zainal Abidin pula berkata, perjanjian persefahaman tersebut dapat membolehkan pihaknya mempelbagaikan langkah dalam mencari inisiatif mengangkut produknya.

“Kerjasama Perodua dan MRL membolehkan kami mengoptimumkan rangkaian logistik,” katanya.

Selain itu, Kuantan Port juga memanfaatkan peluang bersama ECRL dalam meningkatkan kerjasama strategik mengukuhkan lagi hubungan perdagangan di rantau ini.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan menggerakkan peredaran barangan dengan lebih lancar tetapi juga menyokong pembangunan ekonomi Pantai Timur serta memacu faedah ekonomi yang ketara, termasuk penciptaan pekerjaan dan peluang perdagangan yang dipertingkatkan,” jelasnya.

MRL merupakan pemilik projek ECRL yang bakal merentasi negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast